Bertemu janda baik di Janda Baik…..
Kampung Janda Baik sudah lama wujud. Perkampungan tradisional Melayu di Pahang yang bersebelahan dengan Selangor ini bagaimanapun hanya diketahui ramai kerana dua peristiwa iaitu ura-ura menempatkan kampus Universiti Islam Antarabangsa di situ dan nahas udara melibatkan Tan Sri Ghazali Shafie @ King Ghaz, mantan Menteri Dalam Negeri yang digeruni.
Kedua-dua peristiwa ini melonjakkan nama Janda Baik. War-war mengenai kampus UIAM telah mengakibatkan orang ramai, khususnya hartawan dan ahli politik berebut-rebut membeli tanah di situ. Akibatnya tanah hutan belantarapun melambung tinggi harganya.
Bukit macam mana sekalipun, harganya tetap naik kerana pembeli berebut-rebut membuat pelaburan. Kalau bukitpun melambung harganya, bayangkan pulalah harga tanah lurah dan rata - apatah lagi jika ada pula anak sungai mengalir di situ.
Saya sendiripun baharu sahaja kenal dengan Janda Baik. Semasa kemalangan melibatkan Tan Sri Ghazali Shafie di situ, saya tidak ke sana dan hanya sampai di perkampungan Melayu tradisional itu sekitar tahun 1987 iaitu dipelawa oleh seorang janda baik melihat rumah banglo yang baharu sahaja dibinanya di situ. Ooops.. Pergi bukan seorang tetapi dengan rakan sepejabat di Utusan Melayu.
Memang cantik rumahnya itu. Bangunan dua tingkat, hanya sebahagian di lantai bawah bersimen manakala selainnya menggunakan kayu. Di sisinya ada kolam renang manakala di belakang rumah dibina sebuah jambatan untuk menghubungkannya dengan anak sungai yang telah diubahsuai menjadi kolam dan taman air.
Di sebelah kolam renang pula ada ladang durian kira-kira setengah. ekar. Pendek kata, memang cantik, menarik apatah lagi dihiasi pelbagai tanaman bunga perhiasan dan tumbuhan lain yang diambil dari kawasan hutan sekitar. Pemiliknya pernah menawarkan kepada saya banglo berkenaan dengan harga RM180,000 sahaja iaitu kos pembinaan rumah sahaja tidak termasuk harga tanah dan lain. Katanya, harga itu sebagai tanda persahabatan.
“Apokan dayo…duit tak ado,’’ (terkenang pula Blues Gang). Kali terakhir ke sana awal tahun lalu, saya diberitahu rumah dan tanah berkenaan kini tidak kurang daripada RM1.8 juta…….Dan telah lamapun dirembat pemilik baharu.
Pendekata, banglo dua tingkat ini memang ‘ngam’ untuk dijadikan rumah istirehat pada hujung minggu.. Itu kali pertama saya ke rumah berkenaan dan tidak lama kemudian, saya ke banglo sederhana mewah berkenaan sekali lagi… kali ini bersama keluarga dan juga keluarga seorang rakan yang mempunyai anak lelaki yang hendak dilonjakkan sebagai artis.
Jejaka berkenaan namanya Zaid Zakaria. Zakaria adalah kawan yang dikenali kerana tinggal serumah dengan abang saya Azim ketika kami masih bergelar bujang dahulu.
Pada hari berkenaan kami ke Janda Baik untuk program melancarkan clip video Zaid serta memperkenalkan artis Red Tomato itu kepada pihak media. Yang melancarkannya adalah pemilik banglo berkenaan, Datin Paduka Hajjah Puteri Zahariah Sultan Salahuddin (Kuyah), puteri Almarhum Sultan Selangor.
Inilah banglo yang ditawarkan dengan harga 'tanda persahabatan' di Kampung Sum-sum Janda Baik. Oleh kerana ketika itu penulis tiada wang, rumah sederhana mewah itu kemudiannya dijual dengan harga jauh lebih tinggi
Jadi si artis dan Ku Yah make-up di ’chalet’ mewah berkenaan dan make-up artist pula ditempah khas oleh Ku Yah sendiri dari ibukota Kuala Lumpur. Saya…jadi penghubung sahaja…! Walaupun bersiap di sana, majlis pelancaran diadakan di sebuah banglo mewah lain yang terletak di atas puncak bukit.
Pemilik banglo berkenaan pula adalah mantan wakil rakyat di Johor dan kemudiannya menjadi orang filem. .Sejak daripada itu saya amat tertarik dengan Janda Baik, maka seringlah ke sana untuk pelbagai tujuan. Zaid kini dah ‘ghaib’ setelah melanjutkan pengajian ke luar negara.
Selain bercuti dan berehat bersama keluarga, saya juga membawa rombongan besar Gerakan Belia 4B Hulu Langat dan anggota Jabatan Pertahanan Awam ke pusat peranginan itu. Kami ke sana kerana menyambut Detik 12 Malam 31 Ogos 2000. Kami menginap di chalet D’Ark Pelbagai kegiatan dilaksanakan di sana termasuklah persembahan kesenian, sukaneka dan yang paling seronok tentulah mandi bagi kanak-kanak dan ibu mereka manakala yang lelaki pergi memancing.
Tiga tahun lalu, seorang sahabat lama, Datuk Kamal Amir.membawa kami iaitu anggota Agendadaily termasuk bos kami, Rosli Ismail, Hanafiah Man dan juga Lokman Abdullah bersama beberapa orang penulis ke rumah Syed Hussin Al-Attas (Pak Habib) di Janda Baik. Hadir sama, Datuk Norza Zakaria. Pada majlis sembang petang itu, para penulis tidak bertuan itu telah bertukar-tukar pendapat mengenai penulisan dan masa depan masing-masing.
Amat menarik pertemuan tersebut, tetapi entah macamana, saya lebih tertarik dengan persekitaran Wadi Hussin milik Pak Habib. Saya amat kagum dan terpegun dengan kecantikan taman dan kreativiti penulis berusia lebih 70 tahun itu. Belum pernah saya melihat scenario yang sama sebelum ini.
Walaupun sudah mengenali Pak Habib sejak lebih 20 tahun lalu, petang itulah pertama kali saya ke Wadi Hussin. Kakak angkat saya, Ainon Mohamad, pengikut setia Edward Devono yang tinggal tidak jauh dari rumah Pak Habib sering bercerita mengenai wadi itu, tetapi entah macam mana, baru hari itu saya berkesempatan menjejak kaki ke situ.
Wadi Hussin hebat. Kawasannya seluas 10 ekar memanjang selari dengan anak sungai yang mengalir di sisinya. Ada pelbagai jenis pokok bunga,buah-buahan dan juga hidupan liar di samping kolam-kolam ikan yang dihuni pelbagai spesis ikan dan hidupan air lain.
Rumah utama Pak Habib yang tiga tingkat cukup menarik. Demikian juga beberapa buah bangunan atau chalet lain yang dibina hasil pengumpulan barang-barang terpakai. Hanya simen dan kapur sahaja kelihatan dibeli, yang lain hampir semuanya terpakai seperti pintu, tingkap, cermin, perhiasan dan juga tempat duduk.
Inilah keistimewaan kreativiti Pak Habib, keturunan Arab-Yemen yang kini mengalir darah Melayu dalam jiwanya - seorang yang lebih dikenali sebagai penulis politik yang telah menghasilkan puluhan buku sejak tahun 1972 lagi. Memang hidupnya bergelumang dengan penulisan politik, tetapi beliau bukan orang politik.
Sejak daripada itu, saya telah empat kali ke Wadi Hussin – bermalam di sana. Setelah beberapa kali di sana, berkenalan pula dengan anaknya, Syed Abdullah (Beb Lah) - juga seorang yang bukan calang-calang orang. Jika Pak Habib menulis mengenai politikus khususnya yang rakus… Beb Lah pula menghabiskan banyak masa untuk berkenalan dengan hantu dan menulis mengenainya.
Beb Lah dikenali juga sebagai Uncleseeker (alah..yang baru-baru ni tulis fasal Cik Puan Siti Aishah dan Fauziah Latiif) ini sedang berusaha untuk membina muzium hantu dan beliau dengan bantuan ‘pakar’ hantu dari Jerman telah menjelmakan beberapa hantu dari seluruh pelosok dunia, tetapi hantu-hantu berkenaan masih 'dikurung' di dalam sebuah rumah di situ. Orang ramai belum boleh temui hantu-hantu berkenaan. Saya dah jumpa….
Dua tahun lalu, ketika memancing bersama anak-anak dan kawan-kawan anak saya pada awal pagi, kami dijengah oleh seorang teman yang tidak pernah kami kenali. Tetamu itu memberi salam kepada saya dan anak bungsu, Ilias Fadzli. Kami menjawab salam sambil melemparkan senyuman - maklumlah… perempuan…kan. Rasa-rasanya perempuan manis itu tak perasaanpun saya senyum sebab cahaya samar-samar je .
Sicantik manis itu peramah orangnya. Semakin lama semakin rancak dia berbual. Banyaklah pertanyaan yang diajukan. Beliau bertanya kami datang dari mana dan kami tidak keberatan untuk menjawab. Dia juga bertanya apa tujuan ke Janda Baik, banyak ke dapat ikan dan dah dapat banyak, buat apa pula. Setelah kira-kira 15 minit bersembang, simanis itu meminta diri untuk beredar.
Dalam cahaya samar-samar itu saya sempat melihatnya melempar senyuman. Jelas manis dan kelihatan lebih muda daripada tanpa senyum.
Wanita itu sempat pula berbual-bual dengan seorang lagi anak lelaki saya, Ilias Badri bersama rakan-rakannya yang memancing di hulu sedikit daripada kami.
Kemudian perempuan itu memberi isyarat lagi dia mahu beredar….. Kali ini melambaikan tangan dan kamipun memberi salam. Beliau kelihatan berjalan ke arah pintu chalet kami menginap. Anak dan kawan-kawannya melihat ke arah saya dan anak bungsu. Kami terpinga-pinga tetapi berdiam diri sahaja. Waktu itu sudah pukul 2.30 pagi.
Kami hanya terus memancing dan tak mahu heboh-heboh soal tadi. Pancing punya pancing, tak dapat seekorpun lagi. Kira-kira 3.15 pagi kami balik ke bilik masing-masing - sempat juga jeling-jeling ke ruang lapang dalam chalet itu jika ada sesiapa di situ. Nyata kosong sahaja kecuali barang-barang keperluan yang kami bawa.
Esoknya, selepas sarapan pagi bermenukan nasi goreng dan lauk ikan goreng panas, saya ke anak sungai lagi. Seperti biasa, nak mandi terlalu sejuk, maka teruslah memancing. Sedang memancing, Beb Lah yang berseluar pendek muncul dan bertanya: “Tak tidur dari semalam ke…”
Saya jawab dan beritahu dah tidur sebentar dan bertanya pula siapa tetamu lain yang tidur dalam chalet kami. “Mana ada orang lain. Kalau adapun kami bagi chalet lain.”
“Habis tu yang sembang-sembang dengan kami malam tadi siapa….?” Anak saya bingkas bertanya ingin tahu siapakah gerangan perempuan manis yang melayani kami jam 2.30 pagi berkenaan. Beb Lah cuma tersenyum manis tanpa kata apa-apapun.
Saya pula mencelah dengan memberitahu Beb Lah bahawa perempuan itu memakai baju putih, rambutnya panjang melepasi bahu, senyumnya meleret dan dia cukup peramah. Beb Lah cuma senyum dan berkata ringkas. “Bertuahlah sesiapa jumpa dia… bukan semua orang ada peluang.”
Beb Lah tukar tajuk cerita dan kami terus tergamam. Saya tak puas hati dan enam bulan kemudiannya saya datang lagi ke Wadi Hussin. Kali ini dapat sembang-sembang lama dengan Pak Habib. Dalam kesempatan itu saya terus bangkitkan pengalaman kami itu. Ringkas sahaja komen Pak Habib: ”Kalau ada rezki memang boleh jumpa janda tu….” - 10/1/2011
Oleh : Badrul Hisham Abdul Aziz (klik)
Nota : Betulke cerita ni Dato Badrul? Saya tahu Dato lebih suka berkata benar dalam hidup Dato' tetapi bolehkah kami semua tahu tarikh berlakunya peristiwa tersebut kerana saya juga sudah lupa kerana ramai tetamu yang datang ke teratak orang tua saya ini. (Maaf kerana tidak berhubung dengan Dato' sendiri tentang kisah ini). Saya nak periksa sendiri dalam buku catatan Team PSI samada tarikh tersebut ada atau tidak anggota wanita dalam anggota Team PSI berlegar di tempat tersebut.
3 comments:
Naa folo n Naa mau jemput uncle join contest.. jom la.. hihi
http://dhati-naa.blogspot.com/2011/02/1st-contest-in-da-house.html
haaa... tertarik nak tanye pasal zaid zakaria tu... pe citer dier skang eh? :D
uncle kenapa saya buka blog maskancil dh x leh???huhu dh kena block ker..
Post a Comment