Kenali mereka

Showing posts with label Petua Orang Tua. Show all posts
Showing posts with label Petua Orang Tua. Show all posts

Thursday, February 2, 2012

Petua Orang Tua (2)

Petua Orang Tua (2)
Petua mengatasi Ilmu


Kecantikan

Menghilangkan bulu roma yang lebat
Jika anda mengalami masalah bulu roma yang lebat tentu anda risau dan tidak selesa, terutama bagi kaum wanita. Untuk mengatasi masalah ini, sediakan 2 sudu besar air limau nipis, campurkan dengan sedikit gula pasir, kacau hingga sebati. Setelah itu sapukan pada badan yang ditumbuhi oleh bulu roma itu, biar kering di badan selama setengah jam setelah itu barulah dicuci. Lakukan cara ini sekali sehari.

Menghilangkan Parut Dibadan
Ambil daun senduduk sebanyak segenggam. Kemudian, gosokkan daun tersebut di tempat yang berparut selama 10 minit. Lakukan setiap hari sehingga mendapat perubahan yang diimpikan.

Menghilangkan Tompok Hitam Bekas Jerawat
Ambil sepotong ubi kayu yang sudah dikupas kulitnya. Parut ubi kayu tersebut dan perah untuk mendapatkan airnya. Sapukan air perahan tersebut kemuka. Lakukan sebegini dalam masa seminggu.

Petua hilangkan urat di kaki
Ambil sebesen air suam-suam kuku. Rendamkan kaki ke dalam air tersebut antara 10 hingga 15 minit setiap hari. Lakukan sehingga anda berpuashati dengan hasilnya. Cara lain ialah dengan mengurut urat-urat tersebut dengan minyak secara perlahan-lahan setiap hari.

Cara Mudah Bersihkan Bulu Ketiak
Bahagian ketika jika tidak dibersihkan akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Bau ini akan lebih ketara jika bulu ketiak tidak dibersihkan. Cara yang paling mudah lagi menjimatkan untuk membersihkan bulu ketiak ialah dengan menggunakan kapur sireh. Sapukan kapur sireh rata-rata pada bahagian kulit dan bulu ketiak dan kemudiannya biarkan ianya kering. Anda akan dapati bulu ketiak mudah dicabut dengan tangan. Setelah berkali-kali melakukannya,bulu ketiak yang tumbuh akan berkurangan dan pertumbuhannya lebih lambat. Ini kerana kapur sireh dapat mematikan kelenjar yang meransangkan pertumbuhan bulu ketiak.

Mengempiskan perut
Untuk mendapatkan tubuh badan yang menarik terutama di bahagian perut, cuba petua berikut;
Ambil lada hitam kira-kira 2 setengah genggam. Tumbuk halus, dicampur dengan sebiji ragi tapai.Gaul bersama cuka bercampur air asam jawa. Setelah ramuan tersebut sebati, sapukan di perut, di sekeliling pinggang. Bengkung ketat. Seeloknya dilakukan pada waktu pagi selepas bertungku.

Menurunkan Berat Badan
Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan berat badan anda.Caranya:Sediakan dua biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari, setelah itu perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas anda makan tengahari dan makan malam.Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur turun.

Menghilangkan lemak
Ambil sebuku asam jawa, ramas ke dalam air sebanyak segelas. Masukkan ke dalam peti sejuk, anda jadikan minuman, selepas anda makan tengahari dan makan malam.Amalkan setiap hari.

Badan Langsing selepas bersalin
Untuk mengelakkan badan menjadi gemuk selepas bersalin, cuba petua berikut; Ambil 5 halia bara (halia cina), 10 biji lada hitam, 30 ekor ikan bilis.Tumbuk kesemua sehingga lumat. Perahkan air limau nipis. Makan bersama nasi panas pagi dan malam, setiap hari sewaktu dalam pantang.

Khasiat tomato
Setiap wanita begitu teliti menjaga kecantikan wajahnya kadang-kadang berbagai krim dari berbagai jenama yang digunakan untuk mendapatkan kulit yang licin dan halus. Tetapi apa gunanya anda berbelanja besar jika hasilnya tidak memuaskan? Satu cara mudah untuk melicinkan kulit ialah dengan buah tomato.Caranya:Ambil sebiji buah tomato yang telah masak, bersihkan setelah dibelah dua, sapukan tomato yang satu bahagian itu ke kulit muka anda. Biarkan kering selama beberapa minit setelah itu cuci dengan air bersih dan keringkan dengan tuala.

Panau
1. Ambil beberapa daun lengkuas dah tumbuk, kemudian ambil airnya dan sapukan di tompok- tompok panau. Lakukan beberapa kali.
2. Campuran lengkuas dan minyak tanah baik untuk mengubati masalah panau. Tenyehkan bahan ini ketempat yang ditumbuhi panau sehingga terasa pedih. Kemudian basuh dengan air bersih 15 atau 20 minit.
3. Ambil secekak daun kesum dan campurkan dengan sedikit minyak tanah. Gosokkan di bahagian yang ditumbuhi panau sehingga is nampak merah. Lakukan pada setiap hari sehingga panau itu hilang.
4. Ambil sepotong halia, tumbuk lumat kemudian tempelkan pada tempat berpanau.
Ambil lengkuas dan bawang putih. Tumbuk kedua-dua bahan tersebut sehingga lumat, kemudian ambil sedikit minyak tanah dan campurkan ke dalam bahan yang telah ditumbuk tadi. Gaul sehingga rata dan perapkan bahan tadi 10 hingga 15 minit. Kemudian sapukan pada bahagian badan yang terdapat panau tersebut. Amalkan amalan ini setiap kali selepas mandi.
Perlu diingat pengamal petua ini hendaklah menjauhi makanan yang diperbuat dari lengkuas.

Kentang Ubat Jerawat
Jerawat selalu menimbulkan masalah terutama kepada orang muda. Ambil sebiji kentang dan hiris nipis-nipis, kemudian tampalkan pada muka anda sehingga kentang itu bertukar warna. Ulangilah selalu.

Menjaga Rambut Agar Tidak Pecah Di Hujung
Beruslah rambut anda sekurang-kurangnya seratus kali sebelum tidur malam.

Kelemumur
Ambil beberapa helai daun bunga raya. Ramas di dalam air sehingga keluar lendirnya dan sapu dikepala. Kemudian balut dengan rapi menggunakan tuala bersih. Dibiarkan selama setengah jam barulah dicuci seperti biasa. Sebaik baiknya lakukan petua ini sebanyak 2 kali seminggu.

Halia hilangkan kelemumur
Ambil lebih kurang 2 cm halia,buang kulitnya dan tumbuk hingga hancur.Apabila kulit kepala berasa gatal,sapukan halia itu pada kulit kepala sambil menggosok-gosokkannya.

Buah Mengkudu Mencegah Kelemumur Rambut Gugur
Ambil tiga biji buah mengkudu yang telah masak dan buah zaitun yang telah ranum. Hancurkan buah mengkudu dan zaitun yang masak itu dengan air panas. Kemudian sapukan rata-rata
di kepala biarkan selama 15 minit barulah dicuci dengan air limau nipis. Lakukan selama dua minggu berturut-turut.

Rambut Lebat Dan Hitam Berkilat
5 helai daun pandan, 10 helai daun cekur manis sederhana tua, sebiji kelapa parut dan semangkuk air masak, setengah cawan air untuk membancuh daun cekur manis dan daun pandan. Daun pandan dan cekur manis ditumbuk lumat atau digiling, dibancuh dengan air lalu diambil patinya. Semangkuk santan dicampur dengan pati pandan dan cekur untuk dimasak. Apabila sudah jadi minyak kekuning-kuningan, tapis ambil minyaknya, tahi minyaknya diasingkan atau dibuang. Minyak ini elok dipakai pada rambut tiga kali seminggu.

Melembutkan Rambut
Ambil secekak kangkung dan bersihkan. Masukkan dlm bekas. Bubuh enam camca air suam dan ramas kangkung hingga mengeluarkan lendir. Lendir itu sapukan pada seluruh rambut dan biarkan seketika. Kemudian bilas rambut dengan air bersih. Lakukan setiap hari selama dua minggu.

Mencantikkan rambut
Ambil beberapa kuntum bungan raya putih. Ramas didalam sedikit air dan sapu di seluruh rambut dan kulit kepala. Biarkan semalaman dan cuci keesokannya harinya. Amalkan seminggu dua kali.

Melicin dan Memerahkan Kulit Muka
Ambil sebiji buah tomato masak, lecek hingga halus. Kemudian pupurkan di sekuruh muka. Biarkan mengering selama 20 minit. Bilas dengan air bersih. Amalkan seminggu 2/3 kali.

Menegangkan Kulit Muka
Ambil tepung ubi kayu dan mentimun. Timun itu hendaklah di sagat/dihancurkan terlebih dahulu atau dilumatkan. Kemudia campurkan kedua-duanya dengan air sedikit. Kacau rata dan jangan terlalu cair.. Selepas itu, sapukan ke muka dan biarkan ia kering. Kemudian basuh.

Kulit Berkedut
Ambil sebatang lobak merah , bersihkan dan parut, setelah itu campurkan sebiji kuning telur dan secamca besar tepung jagung. Bahan ini dikacau hingg sebati , setelah itu bolehlah dilumurkan pada kulit muka. Lakukan sekali sehari pada waktu malam. Cucilah muka ketika hendak tidur dengan air suam. Amalkan selalu.

Petua Hindarkan Kulit Berkedut
Untuk mengelakkan kulit bahagian perut berkedut, terutamanya selepas bersalin, ikuti cara di bawah:Ambil satu sudu kecil air limau nipis, 20 titik minyak kayu putih dan satu sudu kecil air kapur sirih. Gaulkan kesemuanya dan sapukan kepada kesan-kesan pecah di perut.Lakukan selama dua minggu berturut-turut.

Menjadikan wajah berseri
Basuh beras dan tuskan airnya. Goreng tanpa minyak hingga hangus kemudian tumbuk halus seperti serbuk. Simpan di dalam botol. Apabila hendak digunakan ambil sedikit dan campurkan dengan air limau nipis. Gosok pada muka dan biarkan kering. Setelah itu cuci muka hingga bersih.

Petua naikkan seri wajah
Ibu yang baru melahirkan anak, biasanya berwajah pucat dan lesu. Untuk kembali menaikkan seri wajah, amalkanpetua ini: Ambil secawan beras, bersihkan dan kisar (jangan terlalu halus). Kemudian ambil sebuku kunyit hidup,kikis kulitnya, basuh dan kisar (atau parut). Bancuhkan beras halus dan kunyit tadi dengan air suam untuk dijadikan bedak sejuk yang agak pekat. Cuci muka anda dengan air bersih setiap hari dan kemudian sapukan bedak sejuk itu ke muka secara perlahan-lahan. Gosokkan juga bedak ke bahagian leher dan biarkan ia kering sendiri. Amalkan selama tiga malam berturut-turut.

Menghilangkan parut luka
Ambil sebiji ubi kentang dan kukus dan apabila sudah masak, lumatkan hingga halus
dan tempelkan pada parut tersebut. Biarkan hingga kering dan cuci dengan air suam. Amalkan sehingga kesan parut hilang.

Melebatkan Misai
Ambil beberapa biji buah keras.bakar sehingga hangus.hancurkan dan campurkan ke dalam minyak kelapa. sapu pada misai sebelum tidur.

Melebatkan Bulu Mata
Rendamkan serbuk teh pekat semalaman, kemudian lurutkan pada bulu mata anda dengan mengusapnya ke atas dengan menggunakan hujung jari telunjuk. Lakukan setiap malam sebelum tidur.

Kilatkan Kuku
Bawang merah atau bawang putih..gosokkan bawang tersebut pada kuku anda..

Mengatasi badan berbau
Ambil biji bunga delima segenggam. Buang kulitnya yang keras. Kemudiaannya dijemur hingga kering. Setelah kering tumbuk sehingga lumat dan halus. Selepas itu pakai seperti kita memakai bedak di tempat yang berbau.

Mengharum tubuh badan
1. Ambil 20-30 helai daun sirih, bersihkan dan rebus dengan beberapa gelas air hingga mendidih.Minumlah setiap pagi beberapa teguk.
2. Potongkan limau kasturi dan buangkan bijinya. Kemudian makanlah kulit limau kasturi itu bersama airnya.

Anggaplah petua-petua diatas hanya sebagai renungan sahaja. Tidak digalakkan untuk mengamal atau mempercayai sepenuhnya.


Petua Orang Tua (1) - Kaki Pancing

Petua Orang Tua (1)

Petua Orang Tua (1)
Petua mengatasi Ilmu

Kaki Pancing

Ikan Pari
Kita sering mendengar pemancing akan menghadapi masalah menaikan pari bila ia melekap dipasir. Caranya mudah gunakan daun sireh/ tembakau rokok (dibasahkan) lalu digosok pada tali pancing hingga berbunyi. Pari akan rasa ngilu dan serta merta melepaskan lekapannya pada pasir.

Telur Rebus & Pulut Kuning
Jangan membawa sebarang makanan berdarah seperti daging atau ayam semasa memancing. Begitu juga jangan sesekali membawa bekalan telur rebus dan pulut kuning. Laut tempatnya keras, Kononnya kedua-dua makananitu ada kaitan dengan amalan membuang Ancak’.

Buaya tidak suka bau kunyit
Jika memancing disungai dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing.

Tersesat Didalam Hutan
Jika kita tersesat didalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, cubalah petua ini. Telanjang dan buang air kecil. Selepas itu, ambil tanah diantara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Dengan izinNYA jalan pulang akan ditemui.

Izin Sebelum Memancing
Pastikan setiap kali keluar rumah untuk memancing mestilah memberitahu isteri atau keluarga. Pastikan semua tanggungjawab dan urusan telah dibereskan sebelum pergi. Jangan meninggalkan masalah dirumah, termasuk dengan anak-anak. Bila ini dibereskan hati pun tenang semasa memancing dan mungkin doa mereka anda mendapat hasil yang baik…

Menjaga Umpan Perumpun
Perumpun yang dibeli untuk memancing biasanya mudah mati dan busuk jika anda tidak cepat mengasingkannya. Petua menjaga kesegarannya ialah jika memotong perumpun yang panjang, pastikan ia mula dipotong dari bahagian ekor. Jika ia dipotong dari bahagian kepala, perumpun mudah mati dan busuk. Penggunaan surat kabar atau kertas yang kering juga dapat membantu kesegarannya dengan menukar kertas takungan umpan ini setiap 2 jam sekali. Elakkan dari terkena air hujan atau terdedah dari terik panas matahari. Sebaiknya letakkan kain atau kertas yang lembab bagi menutup perumpun.

Mencari Perumpun Pasir /Laut
Caranya mudah, beli sebiji nenas yang masak ranum, dan anda cuma perlu memerah airnya dipasir yang anda yakin ada perumpun. Mungkin kerana masam air nenas ini perumpun dengan sendiri akan muncul, disini anda hanya perlu menariknya keluar.

Jangan Pakai Kasut Atau Selipar Dalam Sampan
Apabila memancing didalam sampan atau bot jangan pakai selipar atau kasut.Macamlah kita nak masuk rumah orang, kenalah buka kasut atau selipar.Ia semacam tanda hormat dan adab.Nanti ada yang kata bahaya takut tercucuk duri didalam sampan tapi ini sepatut- nya tidak berlaku jika kita mengutamakan kebersihan dan keselesaan ketika memancing. Ada juga beranggapan benda-benda dibawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor.

Jangan Langkah Batang Pancing
Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang larang agar batang pancing tidak dilangkah adakalanya menjadi satu medan pertengkaran sesama rakan pancing. Apa yang sering dikatakan batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan akan meleset.

Mulut
Pantang larang paling utama dalam aktiviti memancing. Mulut jangan cakap besar, takbur, celupar dan suka menyumpah. Jangan suka menegur sesuatu yang tidak pasti spt. bau wangi dan sebagainya. Mulut jangan terlalu suka berjenaka dan bersenda gurau berlebihan ditakuti suka akan membawa duka. Jangan suka buat bising.

Menjuntai kaki kedalam air
Petua ini terutama kepada pemancing yang menaiki bot/sampan. Elakkan suka menjuntai kaki kedalam air semasa memancing atau berehat. Perlu diberitahu tapak kaki kita akan kelihatan putih semasa didalam air dan amat menarik perhatian ikan seperti jerung atau buaya untuk menyambarnya.

Meludah Umpan
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama didalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru. Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang.

Menghilangkan Bisa Terkena Gigi Ikan
Sebaik saja terkena sengatan gigi ikan spt. Ikan Jenahak, Malong dan sebagainya dianggota badan
terutama jari, cepat-cepat cedok air laut tempat anda memancing dengan tangan kanan dan titiskan kedalam mulut dan telan sedikit air tersebut. Rasa bisa serta denyutan akan berkurangan dan bolehlah sapu apa-apa ubat yang sesuai selepas itu.

Anggaplah petua-petua diatas hanya sebagai renungan sahaja. Tidak digalakkan untuk mengamal atau mempercayai sepenuhnya.

Petua Orang Tua (2) - Kecantikan