Belanja simpanan RM40,000 naik motosikal Modenas kelilingi dunia
Belanja simpanan RM40,000 naik motosikal Modenas kelilingi dunia
KUALA LUMPUR: "Saya membelanjakan wang simpanan sebanyak RM40,000 untuk merealisasikan impian mengelilingi dunia merentasi Asia, Asia Barat dan Barat menunggang motosikal yang digunakan kepejabat setiap hari," kata Hadi Hussien.
Beliau berkata, walaupun perjalanan melalui 23 negara menunggang motosikal 'kapcai' Modenas GT 128, antaranya Thailand, Nepal, Turki, Serbia, Itali, Poland dan Perancis itu gagal mendapat tajaan mana-mana pihak, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mengibarkan bendera Malaysia di sana.
"Saya akan menunggang motosikal pendaftaran QSM 17 selama enam jam sehari bermula Sabtu ini dalam siri pengembaraan sejauh 30,000 kilometer untuk mengibarkan Jalur Gemilang, selain membuktikan motosikal keluaran tempatan tidak kurang hebatnya," katanya semalam.
Hadi, 39, berkata, inspirasi pengembaraan itu datang selepas sering bertugas ke negara yang dilanda kesempitan hidup akibat pergolakan atau bencana alam ketika bekerja dengan pertubuhan antarabangsa.
"Atas amanah yang diberikan rakyat Malaysia, saya dan pasukan menggadai nyawa menghantar bekalan dan pakaian kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan ketika itu, saya benar-0benar bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia yang aman damai," katanya.
Hadi berkata, secara fizikalnya beliau bersedia apabila semua keperluan penjelajahan sudah disiapkan termasuk mengambil beberapa suntikan yang diwajibkan untuk mengelak penyakit, selain menyelenggara motosikalnya.
"Jaket dan but yang akan saya pakai ditempah dari Eropah yang kalis hujan dan dilengkapi ciri keselamatan seperti pelapik untuk mengelakkan kecederaan jika berlaku kemalangan manakala motosikal saya juga telah siap diselenggara," katanya.
Berita Harian 23-4-2010
Kembara solo ke 27 negara
Mohd Hadi sasar tunggang kapcai enam jam sehari
Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: berbekalkan hanya sehelai seluar, kain pelekat dan dua helai kemeja-T seorang pengembara bebas, Mohd Hadi Hussien, 39, bersedia menjelajah 27 negara menaiki motosikal 'kapcai' dan memastikan impiannya tercapai.
Motosikal Modenas GT128 dengan nombor plat QSM17 digunakan itu hanya motosikal biasa digunakannya ketempat kerja setiap hari, namun dengan semnagat tinggi dia yakin mampu melakukan pengembaraan itu.
Tidak sabar memulakan jelajahnya, Mohd Hadi mensasarkan enam jam perjalanan sehari dengan motosikal berkuasa 128cc bermula esok.
Antara negara bakall dilalui termasuk Thailand, Nepal, India, Pakistan, Iran, Turki dan beberapa negara Eropah, kembara dijangka memakan masa empat bulan itu bakal berakhir di London.
Acara pelepasan kembara itu disiarkan secara langsung menerusi TV9 dari Sri Pentas pada jam 9.40 pagi esok.
Mohd Hadi ketika ditemui berkata, dia membuat persediaan awal selama enam bulan.
Katanya, segala kos sepanjang pengembaraan itu ditanggung sendiri berikutan ramai tidak yakin dia mapu melakukan pengembaraan dianggap agak mustahil itu.
"Keadaan ini sedikitpun tidak melemahkan semangat saya, malah membuktikan saya mampu melakukan kembara itu sendirian walaupun masih mengharapkan tajaan daripada mana-mana pihak dan terus menyokong saya.
"Saya sedar mungkin sesetengah orang berpendapat tidak masuk akal saya melakukan kembara ini dengan hanya menaiki motosikal biasa yang belum tentu dapat bergerak lebih jauh.
"Sebagai seorang yang sukakan cabaran, saya yakin saya boleh melakukannya kerana sebelum ini saya pernah melakukan kembara menaiki kereta dan motosikal tetapi kembara kali ini lebih mencabar kerana saya harus merentas banyak negara dalam masa hanya empat bulan.
"Pastinya setiap negara yang saya lalui akan saya pelajari pelbagai bahasa dan saya dengan bangganya akan mengibarkan bendera Malaysia dan melaungkan 'Saya anak Malaysia';," katanya
Harian Metro 23-4-2010
No comments:
Post a Comment